HURAIAN : PINDAAN AKTA KERJA 1955 (PINDAAN 2012)
Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda
Akta Kerja 1955 (“Akta 265”). Tujuan utama Rang Undang-Undang ini adalah untuk
menghendaki pembayaran gaji pekerja termasuk pembantu rumah dibuat dengan
memasukkannya ke dalam akaun bank, untuk mengadakan peruntukan mengenai
pendaftaran maklumat yang berhubungan dengan pembekalan pekerja oleh kontraktor
tenaga kerja, untuk menghendaki maklumat berkenaan dengan penamatan perkhidmatan
pembantu rumah asing dan pekerja asing untuk dikemukakan dan untuk
memperuntukkan bagi siasatan mengenai aduan gangguan seksual.
Fasal 1
Mengandungi tajuk ringkas dan kuasa Menteri
untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.
Fasal 2
Bertujuan untuk meminda seksyen 2 Akta 265
untuk memasukkan takrif baru dan untuk meminda takrif tertentu yang digunakan
dalam Akta 265. Takrif “waktu bersalin” dipinda untuk membolehkan pekerja
wanita yang hamil untuk menikmati perlindungan bersalin di bawah Akta 265
seawal dua puluh dua minggu kehamilan sekiranya berlaku kemungkinan seperti
kelahiran pramatang atau keguguran. Antara takrif baru yang dimasukkan ialah takrif ”kontraktor tenaga kerja” sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pembekalan pekerja Dan takrif ”gangguan seksual” bagi maksud siasatan aduan gangguan seksual di bawah Bahagian baru XVa Akta 265.
Fasal 3
Bertujuan untuk meminda seksyen 4 Akta 265
untuk memasukkan keputusan atau perintah
yang dibuat di bawah seksyen 69b, 69c dan subseksyen 81d(4) sebagai keputusan
atau perintah yang tidak boleh dirayukan kepada Ketua Pengarah oleh mana-mana
orang yang terjejas oleh keputusan atau perintah itu.
Fasal 4
Bertujuan untuk meminda seksyen 19 Akta 265
untuk memberi majikan tempoh yang munasabah bagi membayar gaji pekerjanya yang
bekerja pada hari rehat, cuti am yang diwartakan dan bagi kerja lebih masa,
tidak lewat daripada hari terakhir tempoh gaji yang berikutnya.
Fasal 5
Bertujuan untuk meminda seksyen 22 Akta 265
untuk meluaskan pemakaian seksyen ini untuk membenarkan pembayaran pendahuluan
dibuat kepada pekerja bagi pelbagai maksud seperti pembayaran perbelanjaan
harian dan perbelanjaan lain yang perlu bagi membiayai keperluan pekerja dan
anggota keluarga terdekatnya.
Fasal 7
Bertujuan untuk meminda seksyen 25 Akta 265
untuk mewajibkan majikan untuk membuat pembayaran gaji kepada pekerjanya
termasuk pembantu rumah ke dalam akaun pekerja itu di bank, syarikat kewangan,
institusi kewangan atau institusi lain yang dilesenkan atau ditubuhkan di bawah
Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 [Akta 372] atau mana-mana undang-undang
bertulis yang lain.
Fasal 8
Bertujuan untuk meminda seksyen 25a Akta
265 untuk mengadakan pengecualian bagi seksyen 25 yang membolehkan pembayaran gaji
pekerja dibuat dalam bentuk wang diperakukan sah atau cek dengan syarat
terdapat persetujuan bertulis daripada pekerja bagi pembayaran dibuat dengan
cara sedemikian dan dalam hal pembantu rumah, majikan hendaklah memperoleh kebenaran
Ketua Pengarah.
Fasal 9
Fasal 10
Fasal 11
Bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 33a
ke dalam Akta 265 untuk mengenakan kewajipan ke atas kontraktor tenaga kerja
yang berniat untuk membekalkan pekerja atau mengaku janji untuk membekalkan
pekerja, untuk mendaftar dengan Ketua Pengarah dalam borang yang ditetapkan dalam
tempoh empat belas hari sebelum membekalkan pekerja itu. Pindaan ini juga menghendaki
kontraktor tenaga kerja untuk menyimpan atau menyenggara maklumat mengenai
pekerja yang dibekalkannya dalam suatu daftar dan daftar itu hendaklah
disediakan bagi tujuan pemeriksaan. Pelanggaran kehendak-kehendak ini menjadi
kesalahan di bawah Akta 265. Tujuan seksyen baru ini dimasukkan adalah untuk
memantau pembekalan pekerja oleh kontraktor tenaga kerja.
Fasal 12
Bertujuan untuk meminda seksyen 37 untuk
menjelaskan peruntukan yang berhubungan dengan kelayakan cuti bersalin dan
elaun bersalin seseorang pekerja wanita. Dengan pindaan ini, majikan yang
menamatkan perkhidmatan pekerja wanita semasa tempoh pekerja wanita itu layak
untuk mendapat cuti bersalin dengan syarat penamatan itu tidak disebabkan oleh penutupan
perniagaan majikan itu, hendaklah dihukum.
Fasal 13
Bertujuan untuk meminda seksyen 40 Akta 465
berbangkit daripada cadangan pindaan kepada seksyen 37 yang berhubungan dengan penamatan
perkhidmatan pekerja wanita semasa tempoh pekerja wanita itu layak untuk
mendapat cuti bersalin.
Fasal 14
Fasal 15
Bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 44a
ke dalam Akta 265 untuk meluaskan pemakaian Bahagian IX bagi setiap pekerja
wanita tidak mengira gajinya. Dengan pindaan ini, setiap pekerja wanita yang
diambil kerja di bawah kontrak perkhidmatan layak mendapat cuti bersalin dan
elaun bersalin yang diperuntukkan di bawah Akta 265 tidak mengira gajinya.
Fasal 16
Bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 57a
dan 57b ke dalam Akta 265 untuk mengenakan kewajipan ke atas majikan untuk
memaklumkan Ketua Pengarah mengenai pengambilan kerja dan penamatan
perkhidmatan pembantu rumah asing mereka. Maklumat yang diperoleh Ketua
Pengarah akan membantu Kerajaan untuk memantau pengambilan kerja pembantu rumah
asing. Kegagalan untuk memaklumkan Ketua Pengarah seperti yang dikehendaki oleh
seksyen ini adalah kesalahan di bawah Akta 265.
Fasal 18
Bertujuan untuk meminda perenggan 60(3)(b)
Akta 265 untuk mengadakan peruntukan mengenai pembayaran gaji kepada pekerja
yang dibayar gaji mingguan kerana bekerja pada hari rehat.
Fasal 19
Bertujuan untuk meminda seksyen 60d Akta
265 untuk memasukkan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September
setiap tahun sebagai suatu hari kelepasan am diwartakan yang mandatori yang
baginya seseorang pekerja layak diberi hari kelepasan berbayar pada kadar
gajinya yang biasa. Dengan pindaan ini juga, jika hari kelepasan am yang
disebut dalam perenggan 60d(1)(a) dan (b) jatuh pada hari kelepasan am lain yang
telah diberikan oleh majikan atau hari kelepasan am yang telah diisytiharkan oleh
Kerajaan di bawah perenggan 60d(1)(a) dan (b), hari bekerja berikutnya yang terdekat
dengan hari kelepasan am yang telah diberikan oleh majikan atau hari kelepasan
am yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan di bawah perenggan 60d(1)(a) dan (b)
hendaklah menjadi hari kelepasan am berbayar.
Fasal 20
Bertujuan untuk meminda seksyen 60i Akta
265 untuk meluaskan pengiraan kadar gaji yang biasa bagi pekerja yang diambil
kerja dengan kadar gaji mengikut jam.
Fasal 21
Bertujuan untuk meminda seksyen 60k Akta
265 dengan memasukkan subseksyen (3) yang baru untuk mengenakan kewajipan ke
atas majikan untuk memaklumkan Ketua Pengarah mengenai penamatan perkhidmatan pekerja
asingnya. Maklumat yang diperoleh majikan di bawah seksyen ini akan membantu
Kerajaan dalam memantau pengambilan kerja pekerja asing. Kegagalan untuk
memaklumkan Ketua Pengarah seperti yang dikehendaki oleh seksyen ini adalah
suatu kesalahan di bawah Akta 265.
Fasal 22
Bertujuan untuk meminda seksyen 69 Akta 265
berbangkit daripada pindaan yang dicadangkan kepada takrif “kontraktor” dan
“sub-kontraktor tenaga kerja”.
Fasal 23
Bertujuan untuk meminda subseksyen 69b(1)
untuk menaikkan had gaji pekerja daripada satu ribu lima ratus ringgit sebulan
kepada dua ribu ringgit sebulan bagi maksud penyiasatan aduan oleh Ketua
Pengarah.
Fasal 27
Bertujuan untuk memasukkan Bahagian baru
XVa ke dalam Akta 265 yang memperkatakan aduan gangguan seksual.
Seksyen 81a menjelaskan maksud istilah “aduan gangguanseksual”.
Seksyen 81b mengenakan kewajipan ke atas
majikan untuk menyiasat aduan gangguan seksual mengikut cara yang ditetapkan
oleh Menteri.
Seksyen 81c memperkatakan dapatan siasatan
aduan gangguan seksual oleh majikan.
Seksyen 81d memperkatakan aduan gangguan seksual
yang dibuat secara terus kepada Ketua Pengarah dan keputusan beliau terhadap siasatan
aduan itu. Menurut seksyen ini, jika aduan gangguan seksual dibuat terhadap
majikan yang merupakan pemilik tunggal, Ketua Pengarah hendaklah menyiasat
sendiri aduan itu mengikut cara yang ditetapkan oleh Menteri dan keputusan yang
dibuat oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen ini hendaklah dimaklumkan kepada
pengadu secepat yang dapat dilaksanakan.
Seksyen 81f memperkatakan kesalahan di
bawah Bahagian ini.
Seksyen 81g memperuntukkan bahawa Bahagian
ini hendaklah terpakai kepada semua pekerja tidak mengira gaji mereka.
Fasal 28
Bertujuan untuk meminda seksyen 82 Akta 265
supaya selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah berhubung
dengan penyampaian saman.
Fasal 29
Bertujuan untuk meminda seksyen 86 Akta 265
berbangkit daripada pindaan yang dicadangkan kepada seksyen 4.
Fasal 30
Bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 90a
ke dalam Akta 265 untuk membuat peruntukan mengenai perlindungan pegawai yang dilantik
di bawah Akta 265 daripada apa-apa tindakan undang-undang berkenaan dengan
apa-apa tindakan yang dilakukan dengan suci hati semasa menjalankan tugas
mereka.
Fasal 31
Bertujuan untuk meminda seksyen 101a Akta
265 untuk memberi pegawai selain Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah
kuasa untuk mengkompaun apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 265
dengan syarat pegawai itu diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Pengarah
untuk berbuat demikian.
Fasal 32
Bertujuan untuk memasukkan seksyen baru
101b ke dalam Akta 265 untuk menjadikan pengarah, pengurus, rakan kongsi dan
pemegang jawatan kesatuan sekerja bertanggungan secara bersesama atau
berasingan bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh establismen mereka.
Fasal 33
Bertujuan untuk meminda seksyen 102 Akta
265 untuk memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan-peraturan mengenai
perkara yang berhubungan dengan fi, pengambilan kerja pekerja asing khususnya
di bawah seksyen 60k, perkara berhubungan dengan penyiasatan aduan gangguan
seksual dan terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan pembantu rumah.
Pindaan
lain yang tidak diperkatakan dengan khusus dalam Huraian ini merupakan pindaan yang kecil atau
berbangkit.
IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-undang ini tidak akan melibatkan
Kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan.
No comments:
Post a Comment