CYBERJAYA - Selaras dengan pengumuman
penurunan kadar cukai satu mata peratusan, individu yang pendapatan bercukainya
di bawah RM5,000 tidak perlu lagi membayar cukai mulai tahun taksiran
2013.
Menjelaskan demikian, Ketua Pegawai
Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar
berkata mereka yang berpendapatan bercukai RM5,000 hingga RM20,000 ke atas pula
akan menikmati kadar cukai sebanyak dua peratus berbanding tiga peratus sebelum
ini.
"Manakala bagi individu yang pendapatan
bercukainya antara RM20,001 hingga RM35,000 pula akan dikenakan cukai sebanyak
enam peratus berbanding sebelum ini tujuh peratus," katanya kepada
pemberita di sini.
Beliau berkata pengurangan cukai itu setelah
diambil kira semua pelepasan cukai dan bukannya mengikut pendapatan kasar.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan
mengenai Bajet 2013 dan pengurangan cukai itu boleh menghubungi Pusat Khidmat
Pelanggan di talian 1-300-88-3010 atau emel di callcentre@hasil.gov.my.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam pembentangan Belanjawan 2013 semalam, mengumumkan penurunan kadar satu
mata peratusan cukai mulai tahun depan, langkah itu membolehkan kira-kira
170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.
Mohd
Shukor berkata secara keseluruhannya bajet 2013 mengandungi 37 pindaan di bawah
Akta Cukai Pendapatan 1967; lapan pindaan di bawah Akta Petroleum (Cukai
Pendapatan) 1967; sepuluh pindaan di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah
1976; dan enam pindaan di bawah Akta Setem 1949.
Kesemua pindaan itu katanya sebagai menyokong
fokus bajet bagi merangsang aktiviti pelaburan, memperkasa pendidikan dan
latihan, membudaya inovasi dan meningkat produktiviti.
Justeru itu katanya, LHDN akan menganjurkan
Seminar Percukaian Kebangsaan di 23 lokasi di seluruh negara, mulai 3 Oktober
depan.
Ia
bertujuan memberi penerangan lanjut berkaitan perubahan dalam Akta Cukai
Pendapatan dan akta-akta lain yang ditadbir agensi itu yang terkandung dalam
Bajet 2013. – Bernama
SUMBER : bloginfo4uall.blogspot.com
No comments:
Post a Comment